Keluaran Terbaik dari Langit (filem)

Tayangan

Tayangan perdana peringkat dunia untuk filem ini telah dilakukan di Festival Filem Antarabangsa Tokyo 2014 pada 28 Oktober 2014. Tayangan perdana di Malaysia telah dilakukan pada 9 Disember 2014 di Cathay Cineplex, eCurve Damansara.[4]Filem ini telah ditayangkan di Malaysia pada 25 Disember 2014.[11][12]

Ulasan kritis

Lakonan Amerul Affendi sebagai Toyu mendapat pujian oleh para pengritik filem.

Rata-rata ulasan bagi filem ini ialah positif. Syed Mussadad Syed Mahdi dari Utusan Malaysia, Faisal Asyraf dari New Straits Times dan Azhariah Kamin dari The Star senada dalam ulasan mereka mengenai filem ini sebagai "wajib tonton 2014" dan "berpotensi mengikut jejak kejayaan filem Nik Amir sebelum ini ( KIL).[13][14][15] Ifqdar Rahman dari Utusan Malaysia pula memberikan satu perkataan untuk menggambarkan filem ini, "Terbaik!".[16] Muzaffar Mustapha dari Astro Awani pula memuji kejayaan pengarah serta penulis " meneroka lebih daripada cerita persahabatan dan dunia sinema, malah turut melihat elemen ketuhanan di lapisan yang lain".[17] Dia turut memuji keserasian watak Toyu (Amerul Affendi) dan Sofia Jane (Nadiya Nisaa) yang cukup cemerlang. Turut dipuji ialah sinematografi serta muzik filem. Nomy Nazwir dari The Malaysian Insider pula berpendapat Amerul Affendi harus medapat pujian yang lebih tinggi hasil lakonan di dalam filem ini.Mohd Al Qayum Azizi dari mStar memuji kejayaan pengarah menterjemahkan skrip penulis dengan begitu cemerlang.[18] Syahirah Jermadi dari portal perfileman Thoughtsonfilms.com pula memuji penulisan skrip Redza Minhat.[19] Ajami Hashim dari portal hiburan Rotikaya.com memberikan "Empat biji rotikaya".[20] Aqmar Mustaza dari Sinar Harian pula mengulas filem ini sebagai "gabungan sentuhan sinematografi, pencahayaan, kesan bunyi dan juga CGI yang cukup rencahnya".[21] Portal hiburan Murai.com pula mengulas filem ini sebagai "penuh sinikal dan metafora".[22] Suhaimi Suib dari portal hiburan SkorBintang.com pula menobatkan filem ini sebagai filem terbaik 2014. Diyana AR dari portal kehidupan, TheVocket.com pula menyenaraikan filem ini sebagai "9 Filem Terbaik Malaysia 2014".[23]

Amir Hafizi dari The Malaysian Reserve pula mengulas filem ini mampu menjadi lebih baik tetapi memuji persembahan Amerul Affendi sebagai Toyu.[24] Al Jafree Md Yusop dari portal perfileman DailySeni.com mengulas "filem yang baik tetapi terlalu mudah dijangka".